Alhamdulillah segala kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa, Ramadhan yang mana bulan penuh barakah dan yang ditunggu-tunggu oleh semua kaum muslimin kini datang lagi. Bulan Ramadhan yang penuh khasiat, rahmat dan rahsia tersendiri membantu kita sebagai hambaNya untuk meningkatkan lagi ketakwaan di kala setahun yang berlalu penuh alpa tanpa disedari.
Bukankah Ramadhan datang untuk kelana kita di dunia yang sendinya adalah TAKWA?
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Betapa sayangnya Allah kepada kita dengan menghadirkan satu bulan dalam setahun untuk kita belajar dan mendidik diri kita mencapai TAKWA.
Justeru, apakah yang diajar oleh puasa untuk meningkatkan nilai takwa?
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan pelajaran bahkan tidak makan kerana tiada makanan juga bukan merupakan suatu latihan untuk meningkatkan ketakwaan.
Apa yang dinamakan takwa itu adalah ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah. Itulah suatu pelajaran yang berbentuk latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan serta kehendak diri agar daya kawalan diri dapat kita tingkatkan.
Seseorang yang tidak mampu untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan dirinya akan melahirkan suatu bencana yang amat membinasakan. Firman Allah SWT:
“Maka, pernahkah engkau melihat (Wahai Muhammad) orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah berdasarkan ilmunya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dikunci mati pula pendengarannya dan hatinya, serta diletakkan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (al-Jaathiyah: 23)
Bertuhankan Tuhan yang palsu tidak perlu menyembah berhala, cukup dengan seseorang itu mengangkat nafsunya sebagai Tuhan mengatasi perintah Allah. Golongan itulah yang disebut tidak mampu berkata TIDAK kepada hawa nafsunya sendiri. Manusia sebegini, biarpun ilmunya banyak, kefahaman agamanya tinggi, namun ilmu itu akan menjadi tidak bererti apa-apa kerana segala-galanya bukan lagi atas keputusan ilmu, tetapi atas keputusan kemahuan diri yang tidak terkawal itu. Golongan professional, tidak kira professor, ahli falsafah mahupun ustaz sekali pun boleh tersungkur apabila ilmu tidak mampu menjadi senjata untuk melepaskan dirinya daripada kehendak diri yang mengundang binasa..
Segala suruhan Allah dan laranganNya khusus di bulan Ramadhan ini untuk mengajar kita mengawal diri dan mampu berkata tidak kepada diri sendiri tatkala apa yang dimahukan itu suatu mudharat yang bukan lagi manfaat. Inilah yang dinamakan hikmah Ramadhan.
0 comments:
Post a Comment