Alhamdulillah, lembaran baru hari ini dimulakan dengan penuh kesyukuran. Hari-hari yang berlalu meninggalkan seribu satu sejarah yang mustahil untuk diubah. Hari akan datang pula menyimpan sejuta misteri yang mustahil untuk dirungkai sebelum waktunya. Apa yang penting adalah hari ini. Ya, hari ini adalah hari yang bersejarah tatkala seorang mama dengan penuh keperitan dan kesakitan, kelemahan demi kelemahan menanggung rasa derita bercampur gembira tatkala hendak melahirkan seorang puterinya ke dunia yang penuh dengan pelbagai cerita. Namun dalam perjalanan ini menuju destinasi, pelbagai lebuhraya dilalui. Perjalanan terhenti di lebuhraya ini, terpandang pusara kian menyepi.Setiap kali umur semakin meningkat maka semakin dekat jugalah kita kepada kematian. Apa kita sudah bersedia untuk menghadapi sebuah kematian…
Setelah tetamu berangkat pulang, diri ini lebih senang menyediri di dalam bilik. Entah, sepatutnya hari ini perlu lebih gembira. Tapi perasaan itu bercampur baur dengan rasa sedih, sayu dan bermacam-macam lagi. Kebiasaannya, bila hadirnya tarikh 31 Mei setiap tahun, pasti ada yang berkongsi rasa syukur berbahagi gembira bersama. Sebelum tiba waktunya, pasti sahabat yang paling diri ini sayangi adalah orang pertama yang akan mengucapkan terlebih dahulu rasa syukur kerana kami sama-sama dilahirkan pada tarikh ini. Kini, diri ini merasa lebih sunyi kerana dia dah pergi buat selamanya. Walaupun telah enam bulan berlalu, kehilangannya masih dirasai.
Seharian diri ini dipagut rasa rindu ingin ketemu dengannya. Namun, semua itu hanyalah mustahil. Mana mungkin orang yang dah kembali menemui Rabbnya bisa kembali ke dunia fana ini. Hati nakal bertanya-tanya kenapa perlu ada sebuah penghabisan. Akal pantas mengambil tempat menterjemah kecelaruan minda yang kabur ekoran tertusuk sembilu sedih terpaksa berpisah dengan sahabat sesetia dia. Berat hati ini Tuhan saja yang tahu. Kata orang, patah tumbuh hilang berganti tetapi yang datang itu pasti tidak akan sama jauh sekali serupa dengan yang pergi. Apa pun yang terjadi, yang hidup perlu meneruskan tanggungjawab sebagai hamba Allah di atas pentas dunia ini. Persahabatan yang dia hulurkan selama ini bagai ada suatu hikmah. Diri ini terasa pilu dan terharu. Namun diri ini berjanji, akan terus berdoa dan memperbaiki diri setiap hari dalam usaha mendapatkan sepenuh keredhaan Allah swt yang menjadi jaminan untuk diri ini melangkah masuk lalu mendiami Al-Firdausi seiring mereka yang terpilih.
Rasa rindu terubat tatkala sedikit bacaan doa selamat Abang Long titipkan buat adik bongsunya. Sejak kecil lagi, Abang Long tidak pernah melupakan tarikh ini dan tidak pernah ketinggalan untuk meraikan dengan bacaan doa selamat walaupun hanya dengan hidangan yang biasa. Persiapan makanan dihidang oleh Kak Long penyeri dalam keluarga kami. Moga ikatan ukhuwwah kekeluargaan ini akan terus tersimpul rapi.
Sebenarnya banyak lagi cerita yang tertangguh untuk diri ini kongsikan. Begitu meriah hidup ini hinggakan ada saja yang ingin dikongsikan tanpa sedetik pun mahu ketinggalan. Cuma terkadang masa terlalu cemburu, lalu diri ini diburu kekalutan. Kesibukan yang kunjung tiba tanpa diundang seperti tidak mahu beransur kurang. Semakin hari diri ini semakin tenggelam dalam kegawatan masa. Risau juga, takut-takut amal ibadat diri ini tidak lagi selari dengan nikmat dugaan yang bersilih ganti menemani. Moga diri ini terhindar dari fitnah dunia yang boleh menghancurkan mahligai insani tanpa disedari.
Imam Ghazali berkata:
“Yang paling jauh dengan diri kita adalah ‘masa lalu’. Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.”
Maka setiap perbuatan yang ingin kita lakukan harus disertai dengan akal yang waras di samping panduan iman yang tepat bagi memastikan hasilnya tidak akan mendatangkan sesal. Menjalani kehidupan yang tiada siapa tahu hujung pangkalnya membuatkan kita berkelahi dengan masa dan berebut dengan waktu seolah-olah tempoh yang Allah swt beri tidak pernah cukup. Walhal kita sendiri sebenarnya yang kalut tanpa sebab, lalu melahirkan generasi singkat waktu dan akhirnya menjadikan kita masyarakat yang tumbang tak jatuh ke tanah, terbang tak tinggi ke awan. Semuanya hanya ala-ala kadar kesan dari kesuntukan masa yang kita ciptakan sendiri. Kesibukan membawa kita kepada kelalaian yang tiada berpenghujung lalu menjauhkan kita dari Tuhan yang sentiasa dekat dan memerhati. Kenapa tidak bersegera dalam satu perbuatan yang tidak perlu pada penangguhan agar kita merasai nikmat waktu itu.
Malam sudah tidak lagi muda. Hilang terang timbullah gelap. Selesai siang, tibalah malam. Dalam sayu melihat malam kian berlabuh menggantikan hari ini kepada esok dan begitulah seterusnya. Maka tirai 31 Mei sudah berlabuh dan akan diganti dengan 1 Jun mengikut kaedah Masehi. Terima Kasih pada sahabat-sahabat serta saudara mara atas ucapan dan doa yang tidak putus-putus kerana masih mengingati tarikh hari ini sebagai penghargaan kepada pemilik KalamNuraz. Maaf dipohon atas keterlanjuran yang lalu jika ada tersalah. Diri ini tidak pasti apakah mungkin akan ketemu lagi pada 31 Mei yang akan datang. Namun, jika bertemu lagi, pasti dengan sebuah harapan baru.
Seorang bayi yang baru lahir akan menggenggam tangan seolah memberitahu bahawa dia akan terus hidup dengan semangat walau ada pancaroba kehidupan,
seorang insan yang baru "kembali pergi" pula akan menadah tangan seolah mengharap rayu doa yang masih hidup..
Hargailah sebuah Kelahiran !
Renungkanlah sebuah Kematian !
seorang insan yang baru "kembali pergi" pula akan menadah tangan seolah mengharap rayu doa yang masih hidup..
Hargailah sebuah Kelahiran !
Renungkanlah sebuah Kematian !