Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan puji-pujian ke hadrat Allah kerana setelah berbulan-bulan bertungkus lumus, akhirnya KalamNuraz berjaya menyiapkan penulisan kajian pertama dengan segala kepayahan dan kesungguhan.
Walaupun beberapa kali menghadapi masalah pada setiap bab dalam penulisan, namun semua itu dianggap cabaran untuk melatih diri ini agar lebih cekap dalam melontar idea dengan hasil yang lebih bermutu. Oleh yang demikian, setinggi-tinggi ucapan terima kasih ditujukan kepada Yang Berbahagia Dr Bharuddin Che Pa selaku supervisor kajian ini yang telah bersusah payah memberi tunjuk ajar dan nasihat dengan penuh dedikasi sepanjang penulisan ini disiapkan.
Selautan kasih buat ayahanda Shaikh Ahmad bin Saikh Salim serta bonda Norain binti Omar, tidak ada yang lebih berharga dalam hidup anakanda ini melainkan kasih sayang serta dorongan yang tidak pernah putus daripada kalian. Semua itu tidak akan mungkin anakanda dapat membalasnya sepanjang hidup ini. Harum telapak tangan kalian berdua ketika melepaskan anakanda ke mari masih segar dalam ingatan. Nasihat dan tunjuk ajar sentiasa anakanda turuti tanpa sedikit pun bantahan. Harapan kalian tidak akan pernah anakanda sia-siakan. Terima kasih Mama, terima kasih Abah.
Ucapan istimewa juga buat keluarga tersayang yang telah meniupkan semangat yang tinggi dan membantu diri ini sepanjang pengajian. Sekalung penghargaan khas buat Ustaz Akmal Zainuddin yang banyak memberi sokongan kepada pemilik KalamNuraz di kala kelesuan dan kepenatan menyelubungi dan sentiasa bertanyakan tentang penulisan ini.
Serba sedikit abstrak dalam kajian ini adalah memberi gambaran tentang perjalanan sejarah yang merakamkan bibit-bibit pembentukan wilayah kecil Gaza dan mengemukakan pelbagai bentuk dan jenis perlanggaran hak-hak asasi manusia yang berlaku ke atas penduduknya akibat serangan kejam rejim Zionis. Justeru, setiap perlanggaran hak asasi itu dilihat menerusi dimensi Islam agar tuntutan semasa dan kehendak Islam selari dalam satu pelaksanaan yang lebih realistik selaras dengan kesesuaian Islam di semua negara. Ini wajar sekali untuk ditemukan kerana pihak yang lemah tidak akan terus tertindas tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Kajian ini telah menggunakan kaedah kepustakaan dan metod temubual semi struktur sebagai sumber dalam mengumpulkan maklumat serta menganalisis data secara sistematik dan menyeluruh.
Hasil kajian ini mendapati bahawa penerapan yang dianjurkan Islam adalah amat sesuai diaplikasikan dalam menangani isu perlanggaran hak asasi manusia kerana ianya bersifat syumul, adil dan sesuai sepanjang zaman. Kajian ini juga berjaya membuktikan bahawa Piagam PBB tidak dapat berfungsi sepenuhnya bagi menangani kes perlanggaran undang-undang antarabangsa dan kebisuan ICJ (International Court of Justice) tambah memperlihatkan kepincangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani kes di Gaza. Segala penyebab kebisuan dan kelesuan PBB turut dicatatkan dalam kajian ini. Pasti timbul persoalan pada kebanyakan orang kenapa PBB dengan segera menghantar bantuan ketenteraan ke Libya sedangkan isu Gaza yang telah sekian lama menjadi penjara terbesar di dunia terus dipinggirkan. Segala persoalan turut terjawab dalam kajian ini.
Dapatan ini juga penting untuk menjawab segala kekeliruan di kalangan masyarakat antarabangsa yang menganggap Islam sebagai agama ritual semata-mata seterusnya menolak spekulasi negatif pihak-pihak tertentu tentang Islam yang dianggap bercirikan keganasan. Agama Islam juga bukanlah suatu agama yang fanatik hingga tidak memandang hak-hak bangsa lain. Ini kerana Islam mengakui semua hak-hak individu dan seluruh masyarakat serta diperteguhkan dengan kewajipan memeliharanya.
Dalam kajian ini juga dikemukakan beberapa saranan yang praktikal dan diharapkan dapat mengurangkan serba sedikit keperitan hidup penduduk di wilayah kecil Gaza yang telah terpenjara setelah sekian lama. Namun, apa pun langkah serta tindakan yang dilakukan seperti saranan dalam kajian ini, asasnya adalah beriltizam dengan Islam sama ada dari segi syariat atau akidah sebagaimana yang telah disarankan oleh Majma' al-Fiqh al-Islami pada tahun 2001 bersamaan 1422H.
Buat titipan terakhir, KalamNuraz berazam untuk menjadikan kajian ini sebagai titik permulaan untuk mendaki puncak ilmu yang lebih tinggi selepas ini. Semoga Allah akan memberikan keredhaan dan memberkati usaha yang tidak seberapa ini.
“Jika kami belum berjaya melakukan jihad di Palestin kerana ketatnya penjagaan, jika saat ini dilarang untuk bertempur di bumi Masjid al-Aqsa, semua ini tidak akan melupakan kami untuk tetap memikirkan Palestin.”
(Dr Abdullah Azzam)
0 comments:
Post a Comment