Andai ada yang bisa memahami keadaan diri tika ini, lemah tidak berdaya akibat demam panas yang melanda beberapa hari. Lama betul rasanya tidak menjenguk alam maya apatah lagi melakar sesuatu di pondok buruk ini. Malam yang cukup dingin dengan suhu badan yang masih tidak stabil cuba menggagahkan diri untuk menulis sesuatu sebagai medan luahan hati.
Kepala yang sememangnya dah pening ditambah lagi dengan beberapa kepeningan yang lain. Dua hari sebelum ini, didatangi seorang sahabat dari sebuah persatuan yang sama dengan menyatakan suatu amanah kepada saya. Ketika itu, diri ini memutuskan untuk tidak menerima atas alasan terlalu banyak tugasan yang penting perlu diselesaikan segera. Alasan itu hanyalah sebagai hujah bagi mengotakan sebuah janji untuk tidak terlibat lagi secara aktif dalam aktiviti berpersatuan.
Desakan demi desakan diterima untuk memastikan saya hadir ke tempat yang dijanjikan. Dalam keadaan yang lemah akibat demam panas yang masih belum reda, saya didatangi lagi oleh seorang hamba Allah menyatakan hasrat yang sama dan memaksa untuk saya hadir seperti yang dirancang. Kini alasan saya bukan lagi tugasan, tapi sakit yang yang jelas depan mata langsung tidak mencairkan hati mereka untuk saya menarik diri.
Sesudah asar tadi, saya menerima beberapa mesej menyatakan program tersebut akan diadakan di Taman Jaya, PJ bermula 4.30 petang esok hari. Mesej yang seterusnya mengandungi beberapa nama beserta phone number untuk saya menghubungi bakal anak-anak usrah saya yang baru mengenai program yang akan diadakan. Apa yang membingungkan saya ketika ini, andai tidak dihantar mesej tersebut, ia merupakan amanah buat saya. Jika di hantar, bagaimana pula dengan janji saya??? Tambahan pula kesihatan yang masih belum stabil memungkinkan lagi untuk saya tidak berada di tempat berkenaan.
Allah Ta'ala Berfirman: "Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya." (al-Isra':34)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tanda-tanda munafik ada tiga perkara iaitu apabila dia bercakap dia bohong, apabila dia berjanji dia mungkiri, apabila dia diberi amanah dia khianat.
Soal amanah pula
Firman Allah Ta'ala:
"Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya" (al-Baqarah:283)
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (an-Nisa':58)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (al-Anfal:27)
Tiada kesimpulan mampu saya nukilkan kali ini, cuma sepatah kata yang ringkas...Andai ada yang bisa memahami..................................
0 comments:
Post a Comment