Rentetan revolusi di Tunisia, bahangnya terus dirasai oleh rakyat Mesir tika ini. Setelah 30 tahun berada dalam cengkaman Hosni Mubarak sejak 1981-2011, Mesir tidak menampakkan apa-apa perubahan. Bahkan yang lebih jelas adalah kemunduran tanpa pembangunan. Sudah 3 dekad lamanya, jumlah populasi penduduk yang hampir mencecah 78 juta terus sarat hidup dalam kemiskinan dan pengangguran disamping berleluasanya rasuah. Rumah-rumah dibina atas kuburan, prasarana tidak dibaik pulih, pendidikan tidak diambil berat, kesihatan rakyat langsung tidak dipeduli. Kepimpinan jenis apakah yang digunakan oleh Hosni Mubarak ini?! Apa yang pasti, nama beliau terus tercatat sebagai "Bapa Pemunduran Mesir".
Dengan apa yang berlaku hari ini, apakah sudah sampai ke kemuncak dendam api kemarahan bagi rakyat Mesir? Rakyatnya terus berhimpun di sebuah jambatan yang menghubungkan sungai Nil untuk bertempur dengan pasukan keselamatan Mesir yang sehingga hari ini menyebabkan 74 orang maut dan 2000 lagi cedera. Sungguh amat menyedihkan, perjuangan pembebasan bagi menegakkan kebenaran tapi mengakibatkan angka korban yang ramai.
Dalam usaha menyekat kebangkitan rakyat, pemerintah menggunakan pelbagai taktik termasuk kekerasan. Malah, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet turut disekat. "Penganalisis berkata tindakan kerajaan Mesir menyekat akses kepada internet dan telefon bimbit adalah yang paling besar pernah dilakukan dalam sejarah negara itu."
“Ia adalah yang pertama dan terbesar dalam sejarah internet,: kata pakar firma keselamatan ketiga terbesar, Rik Ferguson.
Pengasas bersama Cedexis, sebuah syarkat pemantau dan sistem pengurusan internet Julien Coulon berkata: “Kami kehilangan 97 peratus akses internet ke Mesir dalam tempoh 24 jam.” – Berita Harian (AFP)Namun, semua itu gagal membendung kemarahan rakyat. Sehingga semalam, bilangan penunjuk perasaan bertambah hingga mencecah kepada puluhan ribu orang. Apakah ini jalan penyelesaian yang terbaik buat rakyat Mesir? Apakah emosi merupakan segala-galanya bagi perjuangan?
KETAATAN MENURUT AL-QURAN
Allah SWT Berfirman :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ
تَأۡوِيلاً
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (an-Nisa':59)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah Ta'ala memerintah umat Islam supaya mentaati pemerintah. Ia juga sebagai bukti keimanan hamba kepada Tuhannya dan hari akhirat. Allah juga menjelaskan sekiranya berlaku perselisihan dikalangan umat Islam, maka hendaklah mereka semua menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah sebagai jalan penyelesaian.
KETAATAN MENURUT AL-SUNNAH
Daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :
"Dari Nabi s.a.w beliau bersabda: Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah, dan barangsiapa yang menderhakai perintahku, maka bererti ia telah menderhakai perintah Allah. Barangsiapa yang mematuhi pemimpin, bererti ia telah mematuhiku dan barangsiapa yang menderhakai pemimpin bererti ia telah menderhakaiku." (Sahih Muslim)
Hadith tersebut menerangkan bahawa pemimpin umat Islam adalah sebagai pengganti nabi dalam melaksanakan syariat Islam di muka bumi ini. Dengan itu, pemimpin bertanggungjawab dalam pemerintahannya untuk menjalankan segala ajaran yang telah dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. Hadith ini juga menjelaskan bahawa mengingkari pemerintah yang menjalankan syariat Islam seolah-olah menentang ajaran yang dibawa oleh Baginda.
BATAS KETAATAN KEPADA PEMIMPIN
Islam walaupun mewajibkan ketaatan kepada pemimpin, tetapi Islam tidak menjadikan ketaatan itu sesuatu yang mutlak pada semua perkara. Ini kerana ketaatan yang mutlak itu hanyalah kepada Allah Taala sahaja. Di samping itu juga, ketaatan kepada pemimpin secara mutlak akan membawa kepada pemerintahan diktator. Disebabkan itu, Islam telah meletakkan suatu garis panduan dalam perkara tersebut.
KETAATAN KEPADA PEMIMPIN
Sekiranya pemerintah menerapkan syariat Islam ke dalam pemerintahan, maka wajiblah mentaati pemerintah. Sekiranya tidak, maka tidaklah wajib dalam mentaatinya.
Diriwayatkan oleh Abu 'Abid al-Qassim bin Salam bahawasanya dari 'Ali bin Abi Talib r.a telah berkata:
"Tanggungjawab keatas imam adalah berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan menunaikan amanah, jika dia telah melakukan yang sedemikian, maka menjadi tanggungjawab ke atas rakyat untuk mendengar dan mentaati pemerintah tersebut."
Ini menunjukkan bahawa melaksanakan hukum syariat menjadi syarat kepada kewajipan dalam ketaatan terhadap pemerintahan.
Pemerintah juga hendaklah membuat keputusan dengan adil ke atas rakyanya. Sekiranya pemerintah berlaku zalim, maka tidak lagi wajib untuk mentaatinya. Imam Fakhrurrazi menyebut dalam tafsirnya bahawa mentaati pemimpin mempunyai kaitan dengan kepimpinan yang adil. Beliau menyebut bahawa ayat 59 dari surah an-Nisa' :
أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ
Ayat ini menjelaskan bahawa kewajipan untuk taat kepada pemimpin itu akan berkait dengan tanggungjawab pemerintah untuk berlaku adil kepada rakyatnya.
Seterusnya wajib mentaati pemerintah sekiranya pemerintah menyuruh kepada perkara wajib, sunat atau harus. Namun haram mentaati kepada suruhan yang menjadi maksiat kepada Allah.Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah kamu taati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah kepada perkara-perkara yang makruf."
Taat kepada Allah adalah lebih utama daripada mentaati pemerintah yang memaksa melakukan perkara yang mungkar. Menurut al-Mawdudi, ketaatan kepada seorang pemimpin dibatasi oleh dua syarat:
Pertama, pemimpin tersebut mestilah seorang Muslim.
Kedua, pemimpin tersebut adalah pemimpin yang taat kepada Allah dan RasulNya sehingga setiap perkara yang dilakukan adalah seiring dengan syariat Islam.
Dengan kata lain, ketaatan pada seorang pemimpin terikat dengan syarat adanya ketaatan pemimpin tersebut kepada Allah dan RasulNya. Salah satu bukti adanya ketaatan seorang pemimpin kepada Allah dan RasulNya adalah dengan menunaikan solat lima waktu. Jika seorang pemimpin meninggalkan solat lima waktu, maka bererti ia telah melanggar kesetiaan dasar kepada Allah dan rasulNya. Dalam keadaan ini, menurut al-Mawdudi rakyat boleh menurunkan pemimpin tersebut dari tampuk kekuasaannya.
Walaupun demikian, ada di kalangan para ulama membenarkan ketaatan mutlak kepada pemimpin sekalipun ianya zalim dan setiap perkara yang dilakukannya sendiri tanpa melibatkan rakyat sering melanggar aturan syariat. Al-Ghazali misalnya berpendapat, rakyat pada tahap mana sekalipun, wajib taat secara mutlak kepada pemimpin negara dan wajib melaksanakan semua arahannya. Sependapat dengan al-Ghazali, Ibnu Jama'ah menyatakan, sekalipun khalifah melakukan tindakan yang bertentangan dengan syariat dan sangat kejam, ia tetap wajib dipatuhi. Sehubungan dengan hal ini, Ibnu Jama'ah menyatakan, "Empat puluh tahun di bawah pemerintahan sultan tirani, lebih baik berbanding tidak mematuhinya dalam satu jam."
Sependapat juga dengan Ibn al-Jama'ah, Ibnu Taimiyyah menyatakan :
ستون سنة من إمام جائر أصلح من ليلة واحدة بلا سلطان
"Enam puluh tahun berada dengan seorang pemimpin yang tidak adil adalah lebih baik daripada satu malam tanpa sultan(pemimpin)."Apa yang dapat saya simpulkan di sini adalah Islam melarang penganutnya daripada mengingkari pemerintah. Namun, Islam lebih melarang penganutnya untuk mengingkari perintah Tuhan. Tindakan yang bijaksana hendaklah di ambil bagi menghadapi pemerintah yang zalim. Islam juga tidak membenarkan pemberontakan terhadap pemerintah yang masih Islam walaupun dia adalah seorang yang zalim. Oleh itu, ahl al-Hal wal al-Aqd hendaklah menjalankan tugasnya samada menasihat pemerintah ataupun melucutkan jawatan pemerintah dan digantikan dengan yang lebih baik. Sekiranya amalan demokrasi yang diguna pakai, maka rakyat hendaklah menyatakan tidak setuju dengan pemerintahan yang zalim dengan cara tidak mengundi lagi pemerintah tersebut.
Hanya Allah sahajalah tempat memohon pertolongan, dan daripadaNYAlah datang sokongan dan pembetulan..
والله أعلام
0 comments:
Post a Comment