Perbezaan pandangan, fahaman dan pendapat di kalangan umat Islam sering terjadi di dalam masalah-masalah furu' iaitu mengenai masalah yang tidak jelas nasnya di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Perbezaan fahaman dan pendapat ini berlaku pada persoalan-persoalan baru yang belum ada ketetapan hukum atau nas. Oleh sebab itu, hukum tersebut perlu ditetapkan melalui proses ijtihad dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Tetapi masalah-masalah furu'iyyah ini tidak sepatutnya hingga boleh memecah kesatuan ideologi Islam yang menyebabkan umat Islam berpecah belah seperti yang terjadi pada hari ini. Hal ini kerana, Islam telah menetapkan jalan dan cara penyelesaian kepada masalah-masalah furu'iyyah dengan adanya prinsip musyawarah yang merupakan salah satu daripada constitutive ideas yang perlu dilaksanakan oleh seluruh kaum muslimin.
Penyebab Perpecahan Umat Islam
Salah satu sebab timbulnya perpecahan kepada beberapa golongan di kalangan kaum muslimin pada hari ini adalah kerana kesilapan kita merumuskan ideologi Islam. Umat Islam silap menempatkan hukum yang bernilai zhanni di tempat yang qat'i. Kita memegang masalah-masalah furu' tetapi kita tinggalkan prinsip-prinsip kewajipan yang menegakkan wahdatul ummah dan melaksanakan musyawarah. Oleh sebab itu, maka telah timbul golongan-golongan atau firqah-firqah dan parti-parti sebanyak masalah furu' tersebut. Sebagai contoh, ada yang menjadikan ideologinya terus menerus pada masalah qunut dalam solat Subuh. Juga dalam masalah solat Teraweh 8 rakaat atau 20 rakaat, masalah niat yang dilafazkan dan yang tidak dilafazkan, masalah solat hari raya di tanah lapang atau di masjid hinggalah kepada masalah-masalah taktik perjuangan.
Masalah-masalah furu' itu sebenarnya tidak patut dijadikan ideologi kepada sesuatu gerakan. Sebab kesannya akan menimbulkan perpecahan umat yang disebabkan oleh timbulnya golongan-golongan yang menghancurkan kesatuan. Masalah furu' juga tidak seharusnya mengakibatkan ikhtilaf (perselisihan), tanazu' (persengketaan), dan tafarruq (perpecahan), tetapi haruslah diselesaikan melalui kaedah musyawarah. Jika seluruh umat Islam berpegang pada perkara-perkara usul dan prinsip-prinsip Islam yang qat'i, maka sudah tentu tidak akan terjadi perpecahan ideologi dan perpecahan umat.
Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:
“Dan berpegang teguhlah kalian semua dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai berai..............” (Ali Imran: 103)
Oleh sebab itu, dalam kita menuju kepada proses wahdatul ummah, kita seharusnya tidak menganggap masalah furu' dan perbezaan pendapat sebagai suatu isu besar dan penting yang perlu diperdebatkan dan di ungkit-ungkit selagi tidak diwujudkan suatu lembaga musyawarah yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang cekap dan layak dalam memecahkan perselisihan dan boleh menyelesaikannya secara ilmiah. Sebab masalah furu' dan perbezaan pendapat itu tidak akan dapat diselesaikan selagi belum diwujudkan lembaga musyawarah.
Apa yang penting sebenarnya adalah kita perlu menyampai dan menanamkan kepada masyarakat hari ini mengenai masalah-masalah usul, ajaran-ajaran asas atau constitutive ideas. Akibat terlalu focus pada masalah furu' dan perbezaan pendapat ini, telah hampir membuatkan perkara usul itu sendiri menjadi asing di sisi masyarakat. Seharusnya bagi mereka yang memahami agama, perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka seharusnya menanamkan ajaran-ajaran, doktrin-doktrin dan prinsip-prinsip asas ajaran Islam agar dapat membina kesatuan ideologi sehingga dapat mewujudkan kesatuan ummah yang utuh dan bukannya berpecah belah sesama muslim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment