Dear Muslimah, protect yourself. You are more precious than a diamond. Don't release your hijab, because you are wonderful. La tahzan, Muslimah. Surely Allah is with us. Be strong. Keep calm and remenber Allah.

Bercinta Hingga Ke Syurga

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Bicara Berhikmah

Entri di atas mungkin ada manfaatnya Insha Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ahlan Ya Ayyuhad Dhuyuful Muhtaramun..

Home

Powered By Blogger
KalamNuraz ©19 November 2010. Powered by Blogger.

Followers

About Me

My Photo
KalamNuraz
And Allah found you lost, and guided you - Quran 93:7 ..................................................................................... Jadilah Hamba yang bersyukur kepada Yang Maha Pencipta. Sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah dan tidak meminta melainkan kepadanya. Pesanan Murobbi: Jika kita hendak menasihati orang, tanya hati kita dahulu. Tujuan kita hendak beri nasihat atau hendak beri malu pada orang. Apabila kita hendak menyampaikan ilmu kepada orang, apakah tujuan kita? Hendak berkongsi ilmu atau hendak menunjuk yang kita lebih tahu. Kalau kita hendak bercakap tentang sesuatu, kita tentu tahu niat kita, hendak menunjuk kita pandai atau rasa berkewajiban menyampaikan ilmu. Ingatlah pahala sesuatu amal ditentukan oleh keikhlasan kita. Jika tujuan bukan kerana Allah, amalan itu akan menjadi seperti debu, bukan pahala yang kita perolehi malah bala yang dikecapi.
View my complete profile

al-Bahsu an al-Manafi'

RSS

Strawberry dan Hati


Kenapa soal hati yang menjadi tajuk perbincangan KalamNuraz ?  Ini kerana, hati adalah segala-galanya. Baik buruknya seseorang itu bergantung pada hatinya. Pasti ramai yang pernah mengalami perasaan geram, sakit hati, benci terhadap seseorang. Kalau tidak, masakan pula kita terdengar ada yang sanggup putus saudara hanya kerana perasaan-perasaan seperti ini. Namun ada juga yang bijaksana dan professional dalam menangani setiap perasaan tersebut. Tetapi berapa ramaikah yang mampu mengawal hati mereka?

Kali ini KalamNuraz ingin membawa kalian yang berada di alam maya, ke sebuah analogi iaitu Strawberry dan Hati. Kita cuba mengandaikan setiap buah strawberry yang dibeli mewakili setiap orang yang paling dibenci. Berapa pun jumlah strawberry itu terpulang kepada kalian, kerana hanya kalian yang mengetahui berapa jumlah orang yang kalian tidak sukai. Kemudian masukkan jumlah strawberry itu ke dalam plastik lalu diikat dengan kemas. Lantas, bawalah beg plastik yang berisi strawberry tadi, ke mana-mana sahaja kalian hendak pergi selama seminggu.


            Hari demi hari berlalu, strawberry tersebut pasti akan mulai mengecut dan kehitaman. Akhirnya buah-buah yang ada dalam plastik itu mula menjadi busuk. Sesiapa pun yang membawanya ke mana sahaja, pasti akan merungut dan marah kerana tidak tahan dengan bau yang kian membusuk saban hari. Orang di sekeliling kita juga pasti akan kurang senang dengan bau beg plastik strawberry yang ada bersama kita.

            Maka, inilah sebenarnya yang berlaku jika kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana sahaja kita akan pergi. Jika kita sendiri tidak boleh tahan dengan bau strawberry yang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa pula akan terjadi  jika kita menyimpan kebencian sepanjang hidup kita. Kerana segala yang busuk lagi membusukkan itu, ada watak yang memainkan peranan dengan cukup baik dan bijaksana.

“…Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh (batiniah) yang nyata.”
(Surah Yasin : 60)

            Buanglah jauh-jauh perasaan benci dalam hati daripada terus membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci. Nasihat KalamNuraz buat diri sendiri dan semua, jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati, seperti strawberry yang kian membusuk, begitu juga dengan hati.  Bila hati suci, jiwa bersih dan naluri menjadi benar, sukar bagi setiap kebencian untuk mendapatkan tempatnya walaupun telah sekian lama ia mendiami teratak hati tanpa izin kita.

“…Beruntunglah sesiapa yang menyucikan hatinya. Dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah asy-Syams :9-10)

Belajarlah memaafkan orang lain dan jangan sesekali segan untuk meminta maaf. Biar kita hina pada pandangan manusia, jangan kita hina pada pandangan Allah.  

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

HATI SEBESAR MANGKUK



Ramai manusia sentiasa berkeluh kesah dalam hidup mereka. Selalu beranggapan bahawa selama hidupnya tidak pernah merasakan ketenangan atau kebahagiaan yang sebenar. Hati seperti ini tidak pernah lari daripada sentiasa merasakan kerisauan. Tambah menyedihkan ada yang cuba menyalahkan Tuhan kerana tidak pernah ingin memberikannya kedamaian hati. Mereka ini sentiasa mencemburui apa yang ada disekelilingnya. Hatinya terasa bagai tidak mampu lagi mengisi segala masalah yang menekan di jiwa.

Bagi saya, hati seperti ini hanyalah sebesar mangkuk. Analogi KalamNuraz cukup mudah. Ibarat sebiji mangkuk yang diisikan air lalu dimasukkan sebungkus garam ke dalamnya. Apabila dihirup air dalam mangkuk tadi, siapa pun pasti akan terasa masin. Namun, cuba kita masukkan sebungkus garam ke dalam air kolam, lalu airnya pula dihirup. Dengan sebungkus garam tadi agak mustahil untuk memasinkan air di dalam kolam.

Inilah perumpamaan kita dan masalah. Garam tadi ibarat masalah. Mangkuk dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, dilanda masalah, dan diuji dengan masalah. Tetapi kalau hati kita hanya sebesar mangkuk, maka kita akan merasai betapa pahitnya masalah yang dihadapi. Pedihnya hati, pasti akan membuat seseorang itu akan berkeluh kesah. Tapi, jika hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan memahami bahawa masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Allah menganugerahkan masalah ke atas setiap hambanya untuk kita berfikir, merenung dan bermusabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita.

Nasihat KalamNuraz kepada diri sendiri, keluarga dan juga sahabat-sahabat, berlapang dada lah dalam apa pun perkara dan sentiasa membesarkan jiwa, agar kita boleh berfikir tentang perkara-perkara lain yang masih boleh memberi kebahagiaan kepada kita. Jangan sekali-kali membiarkan hati kita kecil sebesar mangkuk sehingga tidak mampu menanggung diri sendiri. Jangan lemas dalam masalah, tetapi nikmatilah masalah itu. Pasti ada hikmah di sebaliknya!

Sedikit renungan bersama:

Orang yang gagal selalu menjadikan masalah yang kecil menjadi besar, manakala orang yang berjaya menganggap masalah yang besar itu kecil. Bukankah ujian itu tarbiyah daripada Allah? Justeru, hadapinya dengan tabah ! 
Semoga natijah esok lebih indah…….”

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Janji Allah Itu Pasti !


Titipan buat sahabat KalamNuraz juga sedikit perkongsian  cerita sebagai peringatan bersama kepada saudara-saudara lain yang ingin berhijrah kepada kebaikan.

Cerita ini bermula ketika:

Seorang sahabat mengkhabarkan kepada KalamNuraz bahawa ada seorang hamba Allah yang sangat biasa pengetahuannya dalam agama berhajat untuk meminangnya. Namun, ajnabi tersebut berazam sanggup berubah untuk menjadi seorang yang lebih baik dari sekarang jika dia sudi menerima pinangan tersebut. Lalu, sahabat tadi bertanyakan pendapat kepada saya. Maka, inilah sedikit titipan buat sahabat tadi dan juga kepada ajnabi tersebut.

Luruskanlah niat dalam apa pun perkara yang ingin kita lakukan, kerana amal seseorang itu bergantung kepada niatnya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka Allah akan menyempurnakan pahala untuknya. Manakala barangsiapa yang berhijrah kerana perempuan, maka dia hanya akan mendapatkan perempuan itu sahaja.

Buat ajnabi tersebut, jadilah kamu lelaki yang baik sehingga kamu diingini oleh perempuan yang baik. Jangan kerana kamu menginginkan perempuan yang baik, baru kamu mahu menjadi seorang yang baik. Jadilah baik kerana Allah SWT, selebihnya serahkan kepada Allah, biar Allah yang mengaturnya.

Apabila perkara yang baik kita lakukan, balasan yang baik juga menjadi gantinya. Itu semua usah diragukan lagi, berlipat ganda kelak kan datang gantinya. Buatlah yang baik dengan kerelaan serta keikhlasan kerana Allah. Jerit payah kita tidak akan sia-sia, kerana Allah sudah berjanji akan memberi balasan.

Sekarang kita semua seharusnya perlu memfokuskan diri untuk terus memperbaiki diri dan mensucikan hati serta terus mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa, janji Allah itu pasti!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Somaliland Tanah Terpinggir


Negara di tanduk afrika...negara yang berjuang mencari pengiktirafan...

Minat saya terhadap pentadbiran sebuah negara kecil yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu konflik yang panjang dan dinamakan sebagai Somaliland, memanggil saya untuk merenung dan memahami sejarah panjang negara tersebut.

Sebut sahaja afrika, pasti ramai yang mengaitkannya dengan wilayah yang sedang bergolak apatah lagi setelah kita digemparkan dengan serangan terhadap konvoi media yang mengorbankan seorang cameraman.

Namun, pernahkah anda mendengar nama Somaliland ? Sebuah wilayah kecil yang terletak di utara wilayah yang kacau bilau itu. Sudah 10 tahun peperangan berakhir, namun kesannya masih terasa. Hargeisa sebuah bandar yang musnah akibat peperangan yang kini mula membangun di Somaliland.

20 tahun lalu, bandar hargeisa telah dimusnahkan oleh serangan bom yang telah melumpuhkan keseluruhan bandar ini. Dianggarkan lebih 300 ribu nyawa terkorban akibat  serangan yang bermula pada tahun 1988-1991. Pemerintahan kuku besi di bawah Mohamed Siad Barre yang mengetuai kerajaan Somalia pada ketika itu menjadikan kerajaan Somalia terbahagi kepada 2.

Mei 1991, Somaliland mengisytiharkan kemerdekaan, tetapi hingga kini, penubuhannya tidak diiktiraf oleh PBB. Rakyat Somaliland telah menikmati keamanan, namun keadaan amat berbeza dengan jirannya Somalia, yang masih terus terjebak dalam kancah perang saudara serta dilanda kemarau panjang yang amat dahsyat.

Tidak hairanlah jika Somalia dikatakan sebagai lokasi yang amat berbahaya di dunia kepada petugas media di sana. Biarpun Somaliland kaya dengan sumber semulajadi seperti petroleum, perang saudara telah menyebabkan mereka jauh ketinggalan dari segi pembangunan.

Setelah sedekad peperangan berakhir, mereka mula bangun membina negara.

Bandar Hargeisa mempunyai kepadatan seramai 1.5 juta penduduk. Ianya adalah pusat ekonomi terpenting di Somaliland. Republik Somaliland adalah sebuah negara Islam.

Mata wangnya, iaitu syiling Somaliland tidak laku di pasaran. Namun politiknya staabil, ekonominya pula berdasarkan penternakan, perlombongan, pertanian dan perlancongan antara sektor baru yang dapat menjana ekonominya. Berusaha untuk tegak sebagai seebuah entiti berdaulat, Somaliland berhasrat untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi seperti negara-negara Afrika lain yang merdeka.

Kestabilan politik dan keamanan menjadi teras kepada pembangunan ekonomi. Apa yang menimbulkan persoalan pada saya ialah, bagaimana Somaliland boleh mencapai kejayaannya pada hari ini. Apakah resepi mahupun tindakan dalam sistem pentadbiran pemimpinnya bagi memastikan Somaliland mendapat keamanan untuk rakyat mereka.

Tambah menarik perhatian saya ialah, apabila wang kertas di bawa terus dari bank hanya dalam kereta sorong tanpa iringan pengawal keselamatan. Pengurup wang berani membiarkan wang berada di atas meja tanpa kawalan keselamatan. Begitu juga dengan peniaga barangan kemas.

Apa yang lebih memeranjatkan, bila berkumandang sahaja azan, peniaga hanya sekadar menutup wang dan barang kemas tersebut dengan kain lalu bergegas ke masjid. Semuanya akan ditinggalkan begitu sahaja..Menarik bukan?

Jutaan syiling Somaliland ini akan dimasukkan ke dalam karung guni dan dimasukkan dalam premis masing-masing selepas tamat perniagaan. Seorang penjaga akan diupah menjaganya dengan bayaran RM 13 sehari.

Untuk pengetahuan semua, nilai tukaran wang Somaliland sebanyak 50 ribu syiling bersamaan 9 US Dollar. Oleh itu, penggunaan telefon menjadi medium untuk pembayaran terutama di kaki lima bagi mengelakkan daripada berat membawa duit tersebut walhal dengan nilai yang kecil. Inilah teknologi mereka. Walaupun nampak mundur, tapi dari satu sudut menunjukkan mereka lebih maju daripada kita.

10 tahun dahulu, Hargeisa tidak lebih hanya merupakan sebuah padang jarak padang tekukur. Hari ini, ia bangkit perlahan-lahan. Walaupun terpinggir, Somaliland tetap bertekad untuk membangun. University of Hargeisa Somaliland adalah sebuah universiti terbaik di antara 5 universiti antarabangsa. 
Barbera adalah bandar pelabuhan penting wilayah itu. Pelabuhannya merupakan satu-satunya jalan keluar komoditi perdagangan. Lokasinya yang strategik ditanduk Afrika menjadikannya pelabuhan terpenting zaman berzaman. Sebagai bandar pelabuhan, ia hub utama untuk mengeksport pelbagai jenis ternakan ke negara jiran. Somaliland adalah negara  pengeksport kambing terbessar di afrika ke negara teluk terutamanya Arab Saudi.

Mungkin ramai yang tidak menyedari kewujudan negara kecil yang terletak di benua Afrika bernama Somaliland. Atau ada yang menyangka Somaliland dan Somalia adalah entiti yang sama. Hakikatnya Somaliland bukan Somalia. Sejarah republiknya bermula pada tahun 1960 apabila Somaliland British dan Somaliland Italy bersatu hinggalah berlakunya perang saudara pada penghujung 1980.

Hari ini, terdapat 4 juta penduduk Somaliland yang bertekad untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara yang berdaulat. Dianggarkan lebih 50 ribu pelarian Somalia mendapat perlindungan di Somalia.

Sebagai sebuah negara republik, Somaliland mempunyai sistem pemerintahan yang diurus dengan baik. Kebijaksanaan pemimpinnya menjadi teras kepada kestabilan negara tersebut walaupun berjiran dengan wilayah yang sedang dibelenggu konflik.

Selama 76 tahun dijajah oleh British, mendapat kemerdekaan pada tahun 1960, seminggu selepas merdeka, diiktiraf oleh United Nation sebagai sebuah negara berdaulat bersatu dengan  Somalia. Tetapi pemerintahan di bawah negara atau nama Somalia, mereka terus tidak mendapat keadilan oleh pemerintah yang diktator.

Kemudian Somaliland menarik diri dan menuntut kebebasan sehinggalah sekarang. Walaupun tidak diiktiraf dunia ataupun pihak antarabangsa, namun dewan parlimen mereka yang wujud dan teguh berdiri hari ini membuktikan bahawa pemerintahan mereka terancang dan teratur. Apa yang mereka harapkan hari ini adalah pelaburan setidak-tidaknya oleh negara Islam seperti Malaysia.

Sebagai tambahan, negara ini juga telah mendapat pengiktirafan dari The Associatan of European Parliamentarians for Africa (AWEPA) dan juga kesatuan Eropah (European Union). Kini impian Somaliland ialah pengiktirafan PBB. Rakyat dan negara ini bertekad untuk bengun membina negara bangsa di benua Afrika ini.

Bertunjangkan semangat keislaman yang kental, dibantu oleh negara sahabat yang simpati. SOMALILAND, TANAH TERPINGGIR NAMUN TIDAK DILUPAKAN......................

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

HIKMAH RAMADHAN


Alhamdulillah segala kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa, Ramadhan yang mana bulan penuh barakah dan yang ditunggu-tunggu oleh semua kaum muslimin kini datang lagi. Bulan Ramadhan yang penuh khasiat, rahmat dan rahsia tersendiri membantu kita sebagai hambaNya untuk meningkatkan lagi ketakwaan di kala setahun yang berlalu penuh alpa tanpa disedari.

Bukankah Ramadhan datang untuk kelana kita di dunia yang sendinya adalah TAKWA?

Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertakwa.”  (al-Baqarah: 183)

Betapa sayangnya Allah kepada kita dengan menghadirkan satu bulan dalam setahun untuk kita belajar dan mendidik diri kita mencapai TAKWA.

Justeru, apakah yang diajar oleh puasa untuk meningkatkan nilai takwa?

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan pelajaran bahkan tidak makan kerana tiada makanan juga bukan merupakan suatu latihan untuk meningkatkan ketakwaan.

Apa yang dinamakan takwa itu adalah ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah. Itulah suatu pelajaran yang berbentuk latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan serta kehendak diri agar daya kawalan diri dapat kita tingkatkan.

Seseorang yang tidak mampu untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan dirinya akan melahirkan suatu bencana yang amat membinasakan. Firman Allah SWT:

 “Maka, pernahkah engkau melihat (Wahai Muhammad) orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah berdasarkan ilmunya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dikunci mati pula pendengarannya dan hatinya, serta diletakkan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (al-Jaathiyah: 23)

Bertuhankan Tuhan yang palsu tidak perlu menyembah berhala, cukup dengan seseorang itu mengangkat nafsunya sebagai Tuhan mengatasi perintah Allah. Golongan itulah yang disebut tidak mampu berkata TIDAK kepada hawa nafsunya sendiri. Manusia sebegini, biarpun ilmunya banyak, kefahaman agamanya tinggi, namun ilmu itu akan menjadi tidak bererti apa-apa kerana segala-galanya bukan lagi atas keputusan ilmu, tetapi atas keputusan kemahuan diri yang tidak terkawal itu. Golongan professional, tidak kira professor, ahli falsafah mahupun ustaz sekali pun boleh tersungkur apabila ilmu tidak mampu menjadi senjata untuk melepaskan dirinya daripada kehendak diri yang mengundang binasa..

Segala suruhan Allah dan laranganNya khusus di bulan Ramadhan ini untuk mengajar kita mengawal diri dan mampu berkata tidak kepada diri sendiri tatkala apa yang dimahukan itu suatu mudharat yang bukan lagi manfaat. Inilah yang dinamakan hikmah Ramadhan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tabiat Suka Merokok


Da sebulan tak update blog. Malam ni kena  paksa diri gak sebab kalau xupdate kronologi jadi xlengkap. So diz tyme saya nak crita bahaya rokok memandangkan ini adalah hot topic perbincangan saya dengan some1 baru-baru ni. 

Actually saya sebenarnya malas nak sebot psl effect rokok sebab rasanya semua orang da mengetahui siap2. Tambahan kat malaysia kesan bahaya tu da terpampang kat kotak rokok.  So, saya nak sebot gak sket dengan melihat kenyataan doctor melalui majalah Cyevekel Jerman menyatakan peratusan yang mati dikalangan perokok adalah 10.8% daripadanya kanser paru2, 6.1% terbakar tali perut dan kanser mulut 4.1%.

Bahaya kedua yang kita leh lihat adalah kewangan. Sudah pasti seorang yang bergaji rendah akan membelanjakan utk rokoknya seperempat daripada gajinya n berkemungkinan lebih daripada tu. Ini jelas sekali menunjukkan tabiat pembaziran wang yang boleh menyebabkan kehancuran rumah tangga. Sebab si penagih rokok akan merampas bahagian makan minumnya, dan bahagian makan minum anak isterinya untuk membeli rokok.

Justeru, saya lebih prefer untuk membincangkan hal ini berpandukan hukum syara’ dalam tabiat menghisap rokok. Kesimpulan yang boleh dibuat adalah menjadi kata sepakat pada ulama-ulama fiqh dan imam mujtahid bahawa segala yang membawa kepada bahaya dan menjerumuskan ke dalam kebinasaan, maka menghindarinya adalah wajib dan mengamalkannya adalah haram. Berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah daripada Rasulullah s.a.w sabdanya:
لا ضرار ولا ضرار
“Tidak bahaya dan tidak membahayakan”

Dan juga kerana maksud umum dalam firman Allah Ta’ala :
“dan janganlah kamu menjerumuskan diri kamu ke dalam kebinasaan” (al-Baqarah: 195)

Juga firmanNya:
“dan janganlah kamu membinasakan diri kamu, sesungguhnya Allah amat mengasihi kamu.” (an-Nisa’: 29)

Adapun cara menyembuhkan tabiat ini, maka tanggungjawabnya mestilah pertama sekali dipikulkan ke atas pemerintah. Pemerintah hendaklah terus menerus menaikkan cukai ke atas rokok, meninggikan harganya, melarang merokok di tempat-tempat tertentu seperti tempat umum. Tindakan sebegini adalah sebagai langkah pertama untuk melarang merokok sama sekali.

Kemudian, kepada mereka yang dewasa, yang berpendidikan terutamanya, yang sudah terbiasa dengan menghisap rokok, hendaklah mereka memelihara diri terhadap Allah dan meletakkan perasaan takut kepadaNya dalam melakukan larangan-larangan Allah.

Pada anak-anak kecil yang masih di bangku sekolah yang sudah terbiasa dengan penagihan rokok, ini sejujurnya pada pendapat saya adalah kelalaian ibu bapa atau para pendidik. Lantaran itu, ibu bapa juga pendidik perlu memerhatikan kelakuan anak-anak di luar rumah dan di sekolah serta mengikuti perjalanan kehidupan seharian mereka demi memulihkan penyelewengan ini hingga mereka kembali ke jalan yang betul dan di bawa ke pantai keselamatan.

Di antara hal yang tidak akan dipertelingkahkan oleh dua orang adalah bahawa si anak itu, jika sejak usia yang muda telah mula biasa menghisap rokok, kelak sedikit demi sedikit dia akan meningkat kepada keburukan yang lebih besar lagi dan kepada kerosakan serta penyelewengan yang berat. Ini kerana, rokok itu akan menariknya kepada kehinaan dan ke jalan dosa besar dan mungkar. 
Ayuhlah, Ingatlah wahai orang yang mahu mengingat!



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hargailah Sebuah Kelahiran

Alhamdulillah, lembaran baru hari ini dimulakan dengan penuh kesyukuran. Hari-hari yang berlalu meninggalkan seribu satu sejarah yang mustahil untuk diubah. Hari akan datang pula menyimpan sejuta misteri yang mustahil untuk dirungkai sebelum waktunya. Apa yang penting adalah hari ini. Ya, hari ini adalah hari yang bersejarah tatkala seorang mama dengan penuh keperitan dan kesakitan, kelemahan demi kelemahan menanggung rasa derita bercampur gembira tatkala hendak melahirkan seorang puterinya ke dunia yang penuh dengan pelbagai cerita. Namun dalam perjalanan ini menuju destinasi, pelbagai lebuhraya dilalui. Perjalanan  terhenti di lebuhraya ini, terpandang pusara kian menyepi.Setiap kali umur semakin meningkat maka semakin dekat jugalah kita kepada kematian. Apa kita sudah bersedia untuk menghadapi sebuah kematian…

Setelah tetamu berangkat pulang, diri ini lebih senang menyediri di dalam bilik. Entah, sepatutnya hari ini perlu lebih gembira. Tapi perasaan itu bercampur baur dengan rasa sedih, sayu dan bermacam-macam lagi. Kebiasaannya, bila hadirnya tarikh 31 Mei setiap tahun, pasti ada yang berkongsi rasa syukur berbahagi gembira bersama. Sebelum tiba waktunya, pasti sahabat yang paling diri ini sayangi adalah orang pertama yang akan mengucapkan terlebih dahulu rasa syukur kerana kami sama-sama dilahirkan pada tarikh ini. Kini, diri ini merasa lebih sunyi kerana dia dah pergi buat selamanya. Walaupun telah enam bulan berlalu, kehilangannya masih dirasai.

Seharian diri ini dipagut rasa rindu ingin ketemu dengannya. Namun, semua itu hanyalah mustahil. Mana mungkin orang yang dah kembali menemui Rabbnya bisa kembali ke dunia fana ini. Hati nakal bertanya-tanya kenapa perlu ada sebuah penghabisan. Akal pantas mengambil tempat menterjemah kecelaruan minda yang kabur ekoran tertusuk sembilu sedih terpaksa berpisah dengan sahabat sesetia dia. Berat hati ini Tuhan saja yang tahu. Kata orang, patah tumbuh hilang berganti tetapi yang datang itu pasti tidak akan sama jauh sekali serupa dengan yang pergi. Apa pun yang terjadi, yang hidup perlu meneruskan tanggungjawab sebagai hamba Allah di atas pentas dunia ini. Persahabatan yang dia hulurkan selama ini bagai ada suatu hikmah. Diri ini terasa pilu dan terharu. Namun diri ini berjanji, akan terus berdoa dan memperbaiki diri setiap hari dalam usaha mendapatkan sepenuh keredhaan Allah swt yang menjadi jaminan untuk diri ini melangkah masuk lalu mendiami Al-Firdausi seiring mereka yang terpilih.

Rasa rindu terubat tatkala sedikit bacaan doa selamat Abang Long titipkan buat adik bongsunya. Sejak kecil lagi, Abang Long tidak pernah melupakan tarikh ini dan tidak pernah ketinggalan untuk meraikan dengan bacaan doa selamat walaupun hanya dengan hidangan yang biasa. Persiapan makanan dihidang oleh Kak Long penyeri dalam keluarga kami. Moga ikatan ukhuwwah kekeluargaan ini akan terus tersimpul rapi.

Sebenarnya banyak lagi cerita yang tertangguh untuk diri ini kongsikan. Begitu meriah hidup ini hinggakan ada saja yang ingin dikongsikan tanpa sedetik pun mahu ketinggalan. Cuma terkadang masa terlalu cemburu, lalu diri ini diburu kekalutan. Kesibukan yang kunjung tiba tanpa diundang seperti tidak mahu beransur kurang. Semakin hari diri ini semakin tenggelam dalam kegawatan masa. Risau juga, takut-takut amal ibadat diri ini tidak lagi selari dengan nikmat dugaan yang bersilih ganti menemani. Moga diri ini terhindar dari fitnah dunia yang boleh menghancurkan mahligai insani tanpa disedari.

Imam Ghazali berkata:

“Yang paling jauh dengan diri kita adalah ‘masa lalu’. Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.”
Maka setiap perbuatan yang ingin kita lakukan harus disertai dengan akal yang waras di samping panduan iman yang tepat bagi memastikan hasilnya tidak akan mendatangkan sesal. Menjalani kehidupan yang tiada siapa tahu hujung pangkalnya membuatkan kita berkelahi dengan masa dan berebut dengan waktu seolah-olah tempoh yang Allah swt beri tidak pernah cukup. Walhal kita sendiri sebenarnya yang kalut tanpa sebab, lalu melahirkan generasi singkat waktu dan akhirnya menjadikan kita masyarakat yang tumbang tak jatuh ke tanah, terbang tak tinggi ke awan. Semuanya hanya ala-ala kadar kesan dari kesuntukan masa yang kita ciptakan sendiri. Kesibukan membawa kita kepada kelalaian yang tiada berpenghujung lalu menjauhkan kita dari Tuhan yang sentiasa dekat dan memerhati. Kenapa tidak bersegera dalam satu perbuatan yang tidak perlu pada penangguhan agar kita merasai nikmat waktu itu.

Malam sudah tidak lagi muda. Hilang terang timbullah gelap. Selesai siang, tibalah malam. Dalam sayu melihat malam kian berlabuh menggantikan hari ini kepada esok dan begitulah seterusnya. Maka tirai 31 Mei sudah berlabuh dan akan diganti dengan 1 Jun mengikut kaedah Masehi. Terima Kasih pada sahabat-sahabat serta saudara mara atas ucapan dan doa yang tidak putus-putus kerana masih mengingati tarikh hari ini sebagai penghargaan kepada pemilik KalamNuraz. Maaf dipohon atas keterlanjuran yang lalu jika ada tersalah. Diri ini tidak pasti apakah mungkin akan ketemu lagi pada 31 Mei yang akan datang. Namun, jika bertemu lagi, pasti dengan sebuah harapan baru.
Seorang bayi yang baru lahir akan menggenggam tangan seolah memberitahu bahawa dia akan terus hidup dengan semangat walau ada pancaroba kehidupan,
seorang insan yang baru "kembali pergi" pula akan menadah tangan seolah mengharap rayu doa yang masih hidup..
Hargailah sebuah Kelahiran !
Renungkanlah sebuah Kematian !

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

AMARAH BUKAN PILIHAN


 Manusia diciptakan sungguh istimewa, rumit dan pelik. Bukan saja ciptaan lahiriah atau fizikal yang sememangnya sangat hebat, akan tetapi batiniah atau jiwa dalaman lebih luar biasa ciptaannya. Manusia merasakan pelbagai perasaan. Manusia juga boleh berfikir dan bertindak mengikut kata hati dan naluri yang dipinjamkan. Akan tetapi, siapakah yang sebenarnya mengatur percaturan ini? Dengan segala kehebatan yang ada pada manusia, jangan kita lupa pada Penciptanya yang Maha Esa di atas sana. Kembali ke pangkalnya, doa mampu menjadi canting dalam mencorakkan perihal rasa hati manusia. Mohonlah pada Allah swt agar tidak disesatkan apa yang hati kita nampak, apa yang jiwa kita lihat dan apa yang nafsu kita hajat. Kerana segala yang busuk lagi membusukkan itu ada watak yang memainkan peranan dengan cukup baik  dan bijaksana.

“…Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh (batiniah) yang nyata.”
(Surah Yasin : 60)

Kekalutan emosi dan akhlak umat sejagat serta keegoan yang memuncak tambah merunsingkan. Bila mana kita leka atau sengaja melambatkan insaf dan taubat. Lantas marah menjadi wadah, pertengkaran menjadi medium dan akhirnya membawa kepada penyelesaian yang berupa kehancuran kepada sesebuah institusi tidak kira persahabatan, keluarga mahupun masyarakat.

”…Sesungguhnya nafsu amarah itu sangat mengajak kepada kejahatan.”
(Surah Yusuf : 53)

Bersihkan hati dengan ayat-ayat suci Tuhan yang tersedia untuk kita jamah. Tidak perlu mendaki gunung meredah belantara. Hanya secangkir wudhu, mahkota aurat dilitupi kemas, lalu tadahlah hatimu menghadap Allah swt yang sentiasa ada di sana menunggu hambaNya yang mahu padaNya.

“…Beruntunglah sesiapa yang menyucikan hatinya. Dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah asy-Syams :9-10)

Bila hati suci, jiwa bersih dan naluri menjadi benar, sukar bagi nafsu amarah untuk mendapatkan tempatnya walaupun telah sekian lama ia mendiami teratak hati tanpa izin kita.
Apabila orang lain tersilap, marah kita meluap-luap…
Apabila orang lain tersalah, marah kita bagai bara disimbah…
Apabila orang lain tersadung, marah kita mula bersabung…
Apabila orang lain tersungkur, marah kita tidak terukur…

Semuanya kerana MARAH…

Apa kita lupa atau mungkin alpa,
bagaimana seandainya…

Bila kita tersilap, Tuhan yang marah…
Bila kita tersalah, Tuhan yang marah…
Bila kita tersadung, Tuhan yang marah…
Bila kita tersungkur, Tuhan yang marah…

Di manalah bumi hendak dipijak…
Ke manalah langit hendak dijunjung…

                                                                     

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

BUKAN DIPILIH UNTUK DERHAKA



“Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya.”

Bukan sedikit air mata mama tumpah kerana karenah diri ini dan saudara-saudara. Bukan sedikit keringat abah yang menyimbah bumi untuk diri ini dan adik beradik. Anak mana yang tak sayang mama dan abah. Biar sehitam mana pun arang yang diconteng ke wajah insan bergelar mama dan abah itu, diri ini percaya jauh di sudut hati si anak, merekalah permaisuri merekalah raja. Cuma kejahilan serta kejumudan iman, membataskan kewajaran si anak bertindak sehinggakan ada kalanya melanggar batas agama dan boleh jatuh ke hukum derhaka. Wanauzubillah. Usah diungkit kisah si Tanggang, jangan disebut sejarah si Malin Kundang. Hati ini cukup gerun membayangkan betapa diri ini sebagai manusia biasa tidak akan pernah terkecuali daripada cubaan dan dugaan dalam melaksanakan amanah sebagai seorang anak. 

Bagaimana boleh diri ini lupuskan rasa kesal yang tidak terhingga ini? Berdosanya diri ini sebagai hambaNya dan lebih parah ternodanya diri ini sebagai seorang anak. Malu rasanya untuk diri ini mengaku bahawa kedua insan yang sudah lanjut dimamah usia itu sebagai ayahanda dan bonda, sedangkan mereka terlalu mulia untuk memiliki diri ini sebagai anak yang hanya tahu terluka. Rasa bersalah menyelubungi pabila diri ini sedikit meningkah kata-kata mama. Walaupun mungkin bukan perdebatan besar, tetapi cukup membuatkan mama bungkam membisu dan berlalu sebagai tanda dia jemu.

“Alah ma…boleh tak bagi KalamNuraz tentukan sendiri di mana nak kerja. KalamNuraz punya cita-cita sendiri..selama ni mama sahaja yang tentukan hidup KalamNuraz nak buat apa semua KalamNuraz ikut tanpa bantahan.”

Bentak diri ini tatkala mama menetapkan sebolehnya cari kerja berdekatan dengan negeri tempat tinggal.

“Burung, bila dah punya sayap, mulalah dia terbang sendiri.”

Jawab mama ringkas tapi sinis sambil tangannya sibuk mengupas bawang untuk sama-sama menyediakan masakan tengah hari.

Diri ini sendiri terpaku dengan kata-kata tadi. Setelah keadaan senyap seketika, mama menyambung semula kata-katanya..

“Suka hati kamulah. Mama memang bukan orang belajar tinggi-tinggi. Tak tahu falsafah, tak tahu impian hidup, tambah-tambah dunia sekarang. Cuma mama  masih sama dengan mak-mak yang lain yang nak anak perempuannya sentiasa terjaga. Nak anak-anak sentiasa dalam keadaan baik sebelum mama tutup mata. Itu sahaja….”

Mama meneruskan apa yang sedang dia lakukan. Walaupun hatinya telah diri ini guris. Diri ini menyesal sebenarnya. Bukan cara itu sebenarnya yang diri ini mahu lakukan terhadap mama. Bukan kekasaran diri ini pilih untuk menangani mama. Apatah lagi bukan setiap waktu diri ini boleh bersama mama. Hanya bila tiba waktu cuti sahaja baru pulang, sedang mama dan abah setia menanti kami dengan dada yang lapang. Tetapi nafsu amarah lebih dulu menguasai hati sebelum sempat akal mengambil tempat. Mana mungkin diri ini boleh mendapatkan pertolongan Allah swt, sedangkan diri ini sendiri seakan-akan sedang merobohkan jambatan untuk sampai kepadaNya. Jenuh diri ini beristighfar menginsafi perbuatan yang sepatutnya boleh diri ini selesaikan dengan cara yang jauh lebih baik dan lembut.

Tiada daya diri ini menahan kesal. Memejamkan mata seketika sambil membulatkan tekad bersungguh memohon ampun dariNya, agar diberi ruang kemaafan. Mungkin kalau dulu itu perkara kecil. Meningkah kata-kata mama perkara remeh. Namun kini, setelah sandiwara dunia semakin dikenali, selepas nikmat kerahmatan semakin dirasai, amarah terhadap mama bukan main besar dosanya bagi diri ini. Bukan dipilih untuk derhaka……….

Anak muda yang pada kebiasaannya berdarah panas, tidak akan lari daripada tersadung tingkah. Selalunya pertengkaranlah yang menjadi pilihan bagi menyelesaikan sesuatu isu. Setiap manusia yang dilahirkan ke muka bumi ini secara tabiinya adalah seorang anak. Tidak terkecuali seorang pun daripada kita. Seharusnya ada batas pemikiran yang waras untuk kita membezakan bagaimana untuk melentur hati kedua insan mulia ini agar kita terhindar dari melukai mereka. Siapa pun mereka di pentas dunia ini, adalah urusan Tuhan. Kita sebagai anak tidak perlu menghukum mereka dengan segala derita yang tidak mereka pinta.

Tiadalah yang lebih bahagia bagi insan yang bergelar ibu dan ayah selain berbahagia di samping anak yang dikandung dan dibesarkan. Sebagai mana kita amanah Allah swt kepada mereka, begitu jugalah mereka amanah dan tanggungjawab yang sangat berat dari Allah swt buat kita. Berdoalah selalu agar arah kita kembali terpandu tatkala iblis dan syaitan galak memainkan peranan masing-masing hingga kita hilang pertimbangan bahawa seorang ibu tidak sepatutnya kita kasari dan ayah tidak patut kita lukai.

“…Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik terhadap ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung sampai akhir menyusukannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu dan ingatlah kepada Allah jua tempat kembali untuk menerima balasan.”
(Surah Luqman : 14)

Sudah terang lagi bersuluh, tiada pilihan untuk kita berbuat cela terhadap ibu bapa. Tiada alasan menghalalkan kita untuk mengasari mereka. Tiada dalil mengharuskan kita untuk membelakangi mereka.

“… Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu.”
(Surah an-Nisa : 36)


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Memoir Mengimbau Kenangan

Malam 1001 Kenangan

Sedikit ceritera sahabat yang berkelana di negeri orang..........

Enam tahun yang lalu, merantau jauh ke Kelantan menaiki 3 flight untuk sampai ke destinasi kerana azam yang menggunung atas kecintaan ilmu yang mendalam. Melangkahkan kaki ke bumi tarbiyah Nilampuri, mendidik hati dan jiwa.

Tiada saudara mara bukan menjadi penghalang kepada perjuangan. Sapaan muka-muka baru menghilangkan sedikit debaran berjauhan dari keluarga. Kehadiran anak perantau terus disatukan dalam sebuah ikatan ukhuwwah yang terjalin atas suatu nama keluarga baru iaitu Family Borneo. Allahyarham ayahanda Ust Sidi Ahmad bersama para pensyarah lain menjadi tunggak kepada keluarga baru ini. Percutian ilmiah pertama yang dirancang oleh beliau bermula di Pantai Seri Chap. Suatu kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Bersama Allahyarham ayahanda Family Borneo

Tahun demi tahun berhari raya hanya bertemankan anak-anak borneo di sekeliling. Ustazah Fatimah kemudian menjadi ibunda Family ini di pagi raya. 

Semua itu sudah cukup menjadi pengubat rindu dikejauhan. Setelah tiga tahun menapak di negeri orang, suka suki dilalui bersama, terasa akrab jalinan bagai sukar untuk dipisahkan. Namun, perjuangan perlu diteruskan walau terasa berat untuk meninggalkan bumi tarbiyah yang banyak membentuk peribadi diri. 
DULUNYA 

Melangkahkan kaki ke kampus induk Universiti Malaya KL, memisahkan serba sedikit jalinan keakraban ini. Berbeza pengajian, kekangan masa, jarak tempat tinggal dan sebagainya menjadi alasan untuk kerap bersua. Walau apapun, benar kata pepatah, walau jauh berpisah tapi dekat dihati. Setelah 3 tahun kemudian, family kecil Borneo batch 05/06 mampu bersua kembali pada Malam 1001 Kenangan. Walaupun tidak semua yang dapat hadir, namun malam tersebut tetap meriah. Kehadiran sahabat-sahabat pada malam itu cukup mengingatkan kembali memoir 6 tahun lalu. Yang dulunya kurus kini dah semakin comey, yang dulunya kebudak-budakan kini dah semakin matured, semua itu menjadi perbualan mengimbau kenangan. (^_^)

12 orang yang bakal bergelar sebagai siswazah turut dirai pada malam tersebut. Entah bila lagi akan bersua dengan kalian family Borneo selepas ini. Semua pasti dengan cita-cita dan impian masing-masing. Gurau senda semalam, gelak tawa bersama, bercerita tanpa jemu, dan paling penting tidak pernah penat untuk bergambar sebagai rakaman terakhir kenangan sebelum bergraduasi, tidak akan pernah sama sekali akan dilupa. Kemesraan sedikit pun tidak berubah, malah semakin akrab kerana lama tidak bertemu bahkan akan terpisah lagi untuk kali seterusnya.

WAJAH-WAJAH KINI





Inilah sedikit catatan kehidupan kami yang penuh dengan kenangan.......



Daripada Ibnu Umar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:
 
"Seorang Muslim itu saudara Muslim yang lain, tiada boleh menganiayainya, tiada boleh dibiarkan tanpa ditolong. Barangsiapa mengambil berat terhadap keperluan saudaranya, maka Allah akan mengambil berat terhadap keperluannya. Dan barangsiapa yang melepaskan seorang Muslim dari suatu kesusahan, nescaya Allah akan melepaskan daripadanya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan hari kiamat. Barangsiapa menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat."

 (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Titik Permulaan

      
     Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan puji-pujian ke hadrat Allah kerana setelah berbulan-bulan bertungkus lumus, akhirnya KalamNuraz berjaya menyiapkan penulisan kajian pertama dengan segala kepayahan dan kesungguhan.

     Walaupun beberapa kali menghadapi masalah pada setiap bab dalam penulisan, namun semua itu dianggap cabaran untuk melatih diri ini agar lebih cekap dalam melontar idea dengan hasil yang lebih bermutu. Oleh yang demikian, setinggi-tinggi ucapan terima kasih ditujukan kepada Yang Berbahagia Dr Bharuddin Che Pa selaku supervisor kajian ini yang telah bersusah payah memberi tunjuk ajar dan nasihat dengan penuh dedikasi sepanjang penulisan ini disiapkan.


     Selautan kasih buat ayahanda Shaikh Ahmad bin Saikh Salim serta bonda Norain binti Omar, tidak ada yang lebih berharga dalam hidup anakanda ini melainkan kasih sayang serta dorongan yang tidak pernah putus daripada kalian. Semua itu tidak akan mungkin anakanda dapat membalasnya sepanjang hidup ini. Harum telapak tangan kalian berdua ketika melepaskan anakanda ke mari masih segar dalam ingatan. Nasihat dan tunjuk ajar sentiasa anakanda turuti tanpa sedikit pun bantahan. Harapan kalian tidak akan pernah anakanda sia-siakan. Terima kasih Mama, terima kasih Abah.

      Ucapan istimewa juga buat keluarga tersayang yang telah meniupkan semangat yang tinggi dan membantu diri ini sepanjang pengajian. Sekalung penghargaan khas buat Ustaz Akmal Zainuddin yang banyak memberi sokongan kepada pemilik KalamNuraz di kala kelesuan dan kepenatan menyelubungi dan sentiasa bertanyakan tentang penulisan ini.

     Serba sedikit abstrak dalam kajian ini adalah memberi gambaran tentang perjalanan sejarah yang merakamkan bibit-bibit pembentukan wilayah kecil Gaza dan mengemukakan pelbagai bentuk dan jenis perlanggaran hak-hak asasi manusia yang berlaku ke atas penduduknya akibat serangan kejam rejim Zionis. Justeru, setiap perlanggaran hak asasi itu dilihat menerusi dimensi Islam agar tuntutan semasa dan kehendak Islam selari dalam satu pelaksanaan yang lebih realistik selaras dengan kesesuaian Islam di semua negara. Ini wajar sekali untuk ditemukan kerana pihak yang lemah tidak akan terus tertindas tanpa pembelaan yang sewajarnya.

     Kajian ini telah menggunakan kaedah kepustakaan dan metod temubual semi struktur sebagai sumber dalam mengumpulkan maklumat serta menganalisis data secara sistematik dan menyeluruh.

     Hasil kajian ini mendapati bahawa penerapan yang dianjurkan Islam adalah amat sesuai diaplikasikan dalam menangani isu perlanggaran hak asasi manusia kerana ianya bersifat syumul, adil dan sesuai sepanjang zaman. Kajian ini juga berjaya membuktikan bahawa Piagam PBB tidak dapat berfungsi sepenuhnya bagi menangani kes perlanggaran undang-undang antarabangsa dan kebisuan ICJ (International Court of Justice) tambah memperlihatkan kepincangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani kes di Gaza. Segala penyebab kebisuan dan kelesuan PBB turut dicatatkan dalam kajian ini. Pasti timbul persoalan pada kebanyakan orang kenapa PBB dengan segera menghantar bantuan ketenteraan ke Libya sedangkan isu Gaza yang telah sekian lama menjadi penjara terbesar di dunia terus dipinggirkan. Segala persoalan turut terjawab dalam kajian ini.

     Dapatan ini juga penting untuk menjawab segala kekeliruan di kalangan masyarakat antarabangsa yang menganggap Islam sebagai agama ritual semata-mata seterusnya menolak spekulasi negatif pihak-pihak tertentu tentang Islam yang dianggap bercirikan keganasan. Agama Islam juga bukanlah suatu agama yang fanatik hingga tidak memandang hak-hak bangsa lain. Ini kerana Islam mengakui semua hak-hak individu dan seluruh masyarakat serta diperteguhkan dengan kewajipan memeliharanya. 

      Dalam kajian ini juga dikemukakan beberapa saranan yang praktikal dan diharapkan dapat mengurangkan serba sedikit keperitan hidup penduduk di wilayah kecil Gaza yang telah terpenjara setelah sekian lama. Namun, apa pun langkah serta tindakan yang dilakukan seperti saranan dalam kajian ini, asasnya adalah beriltizam dengan Islam sama ada dari segi syariat atau akidah sebagaimana yang telah disarankan oleh Majma' al-Fiqh al-Islami pada tahun 2001 bersamaan 1422H.

      Buat titipan terakhir, KalamNuraz berazam untuk menjadikan kajian ini sebagai titik permulaan untuk mendaki puncak ilmu yang lebih tinggi selepas ini. Semoga Allah akan memberikan keredhaan dan memberkati usaha yang tidak seberapa ini.



“Jika kami belum berjaya melakukan jihad di Palestin kerana ketatnya penjagaan, jika saat ini dilarang untuk bertempur di bumi Masjid al-Aqsa, semua ini tidak akan melupakan kami untuk tetap memikirkan Palestin.”

                                                                          (Dr Abdullah Azzam)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Di Batas Masa

Yang Patah Tumbuh, Yang Hilang Berganti......Itulah kata pepatah yang menggambarkan setiap sesuatu tidak akan kekal dan pasti akan diperbaharui. Maka berakhirlah jawatan kepimpinan saya dan sahabat-sahabat dalam meniti perjuangan menaikkan nama Jabatan Sains Politik Islam di persada APIUM. 

Sesi Pendaftaran AGM 2011

Sebelum majlis perpisahan Jumaat lalu, diadakan Annual Grand Meeting bagi menangguhkan sesi kepimpinan lama untuk menggantikan kepimpinan baru. Apa yang menarik sekali, memang meeting yang sangat grand dan sangat berjaya. Junior tahun satu telah diberi amanah oleh pihak MT untuk handle diz project. Kecekapan mereka dan kelicinan program sangat mengagumkan hadirin yang turut bersama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

A Day at Parliament


Sebenarnya da lama nak tulis entry  pasal ni. Tapi kekangan masa membuatkan saya menangguh niat nak cerita macam-macam. Entah tetiba, rini lepas je wat presentation kat claz, teringat balik suka suki saya n kengkawan kat parlimen. Asalnya saya xmo da pegi sebab da pernah observe dulu ms 1st year n da tau mcm mana 'best'nya berada kat parlimen. Sebab tu alasan memang xnak pegi da. Then, tetiba satu hari diberitakan student yang amik sub Civil Politician In Islam diWAJIBkan plak untuk pegi.....Nak xnak kena pegi, coz kehadiran ke parlimen dikira sebagai kehadiran kat kuliah. Mungkin nak suh kami tengok kot bagaimana beretikanya ahli politik kat mesia. (Redha)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

La Tahzan



Sedar tak sedar, sudah hampir tiba masa untuk menamatkan sesi pengajian..Hanya berbaki tinggal dua bulan sahaja lagi perjuangan di alam kampus. Semalam, apabila menghayati bait-bait nasihat dari seorang yang paling bermakna dalam hidup tika ini, rasa sayu, sedih, dan macam-macam perasaan yang bercampur baur, mengingatkan kembali tentang keperitan yang pernah di alami semasa berada di Tahun 1 pengajian. 

Apabila kita asyik duduk termenung memikirkan nasib diri di sini, merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan, namun masih tak sedarkah kita tentang hakikat erti kebahagiaan yang sebenar-benarnya?

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS